Foto: Facebook Fadzli Kamal
SHAH ALAM: Pahang menutup kempen Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan pencapaian lebih baik apabila meraih 28 pingat emas, 19 perak dan 36 gangsa.
Kutipan itu menyaksikan kontinjen Pahang menambah lima pingat emas berbanding 23 emas yang diraih pada SUKMA Sarawak dua tahun lalu.
Antara penyumbang terbesar kejayaan itu ialah acara menembak yang muncul juara keseluruhan selepas meraih 14 emas, tujuh perak dan lima gangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, peningkatan tersebut menunjukkan perkembangan positif prestasi atlet negeri.
“Pencapaian yang jauh lebih baik daripada SUKMA dua tahun lalu di Sarawak. Ketika itu Pahang mencapai 23 pingat emas, jadi ada tambahan lima pingat emas,” katanya ketika mengulas pencapaian kontinjen Pahang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Kontinjen Pahang, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin dan Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Encik Mahadir Abdul Raffar atas komitmen serta gerak kerja sepanjang temasya berlangsung.
Menurutnya, hubungan baik antara pengurusan kontinjen, atlet dan jurulatih turut membantu mewujudkan suasana positif yang menyumbang kepada peningkatan prestasi.
“Saya gembira sebab CDM dan pengarah ada hubungan yang baik dengan atlet dan juga jurulatih, jadi ini yang memungkinkan pencapaian yang lebih baik bagi Pahang,” katanya.
Dalam pada itu, beberapa acara turut mencatatkan rekod baharu, namun masih terdapat sukan tertentu yang perlu diberi perhatian bagi memastikan Pahang terus kompetitif pada temasya akan datang.
Sehubungan itu, satu postmortem menyeluruh akan dilaksanakan dengan Ketua Kontinjen Pahang diminta menerajui proses berkenaan bersama persatuan sukan, atlet dan jurulatih.
“Selepas ini kita akan buat postmortem. Saya minta YB CDM untuk mengetuai postmortem ini bersama persatuan-persatuan sukan, atlet dan jurulatih supaya kita dapat menambah baik serta membina perancangan untuk masa depan, khususnya bagi SUKMA yang akan datang,” katanya.
Majlis Sukan Pahang turut akan mendapatkan pandangan dan laporan daripada Fakulti Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam susulan kerjasama yang dilaksanakan sepanjang persiapan menghadapi SUKMA XXII.
Dato’ Fadzli berkata, kerjasama itu memberi nilai tambah kepada pembangunan prestasi sukan negeri kerana Pahang bukan sahaja bergantung kepada penilaian dalaman, malah turut mendapatkan pandangan pihak ketiga yang mempunyai kepakaran dalam bidang sukan.
“Kita dapat pandangan, idea dan nasihat yang sebelum ini tidak kita perolehi. Kita tidak mahu syok sendiri. Ada pihak ketiga yang menasihat dan memberikan pandangan.
“Saya bersama YB CDM dan pengarah bersetuju untuk meneruskan kerjasama antara Majlis Sukan Pahang dan Fakulti Sukan UiTM Shah Alam,” katanya.