Berita

MB Pahang Bangga Black Eagle Jumpers Muncul Johan Lompat Tali Kebangsaan

Kongsi
MB Pahang Bangga Black Eagle Jumpers Muncul Johan Lompat Tali Kebangsaan

CAMERON HIGHLANDS: Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan tahniah kepada pasukan Black Eagle Jumpers dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ringlet selepas muncul johan dalam Pertandingan Lompat Tali Terbuka Kebangsaan 2026.

Pasukan itu menjuarai acara Lompat Tali Berirama Sekolah Rendah Kategori Lelaki/Campuran pada pertandingan yang berlangsung di Sunsuria Forum Hall, Setia Alam, Selangor dari 20 hingga 22 Ogos lalu.

Wan Rosdy berkata, kejayaan berkenaan amat membanggakan kerana Black Eagle Jumpers bukan sahaja mengharumkan nama sekolah, malah turut mengangkat nama Cameron Highlands dan Negeri Pahang di pentas kebangsaan.

“Tahniah Black Eagle Jumpers!

“Tok Wan ucapkan syabas atas kejayaan muncul Johan Lompat Tali Berirama Sekolah Rendah Kategori Lelaki/Campuran dalam Pertandingan Lompat Tali Terbuka Kebangsaan 2026.

“Inilah anak-anak Pahang yang kita banggakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Black Eagle Jumpers yang dibimbing oleh Cikgu Faizul mula melangkah ke pentas kebangsaan pada tahun lalu sebelum mencipta kejayaan lebih besar dengan meraih gelaran johan pada tahun ini.

Kejayaan itu membuktikan murid dari kawasan tanah tinggi Cameron Highlands turut memiliki bakat dan kemampuan untuk bersaing dengan pasukan terbaik dari seluruh negara.

Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada barisan guru yang bertungkus-lumus melatih, membimbing dan menguruskan murid sepanjang pertandingan.

Beliau juga menghargai peranan ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan serta semangat kepada anak-anak berkenaan sehingga berjaya mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.