Berita

Jerebu: IPU Kuantan, Balok Baru Cecah 144, Kualiti Udara Tidak Sihat

Kongsi
Jerebu: IPU Kuantan, Balok Baru Cecah 144, Kualiti Udara Tidak Sihat

Foto: Gambar hiasan/Facebook Kerajaan Negeri Pahang

KUANTAN: Kualiti udara di Kuantan dan Balok Baru berada pada tahap tidak sihat apabila masing-masing merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 144 setakat jam 4.30 petang, hari ini.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sebanyak 25 daripada 68 kawasan yang dipantau di seluruh negara mencatatkan status tidak sihat, manakala enam kawasan berada pada tahap sangat tidak sihat.

Sarawak merekodkan keadaan paling buruk apabila bacaan IPU di Kuching mencecah 264, diikuti IPD Serian (259), Sri Aman (240), Samarahan (220), Bintulu (210) dan Samalaju (207).

Beberapa kawasan lain di Sarawak turut berada pada tahap tidak sihat, termasuk ILP Miri dengan bacaan 191, Mukah (188), Miri (183), Sarikei (180), Sibu (175), Limbang (162) dan Kapit (152).

Di Sabah, Kimanis merekodkan IPU 170, Kota Kinabalu (157) dan Politeknik Kota Kinabalu (156), manakala Labuan mencatatkan bacaan 169.

Johor turut terjejas dengan bacaan IPU tidak sihat di Batu Pahat dan Tangkak, masing-masing 157; Segamat (156), Kluang (155) serta Larkin (153).

Keadaan sama direkodkan di Bukit Rambai, Melaka dengan bacaan 158; Nilai, Negeri Sembilan (156); Johan Setia, Selangor (158) dan Putrajaya (147).

Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 201 hingga 300 pula sangat tidak sihat.

Orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas serta individu mempunyai masalah kesihatan dan pernafasan dinasihatkan mengehadkan aktiviti di luar rumah serta mengikuti perkembangan kualiti udara menerusi portal rasmi APIMS.-JELAIPOST

Grafik: BERNAMA

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.