Berita

CO-DIDIK perlu kekal relevan, telus dan berdaya saing

Kongsi
CO-DIDIK perlu kekal relevan, telus dan berdaya saing

Foto: Izmir Amizar

KUANTAN, 29 Ogos – Koperasi Pendidikan Melayu Pahang (CO-DIDIK) Berhad perlu terus diperkukuh sebagai institusi yang profesional, berintegriti dan mampu memberi manfaat nyata kepada anggotanya untuk jangka panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Dato’ Amizar Abu Adam berkata, sejarah panjang CO-DIDIK perlu diterjemahkan melalui pengurusan yang cekap serta keputusan perniagaan yang berasaskan fakta, kajian dan kepentingan anggota.

“Sejarah yang panjang membawa amanah yang besar. Amanah kita adalah untuk memastikan CO-DIDIK terus relevan, kukuh dan mampu memberikan manfaat kepada anggota, bukan sahaja pada hari ini tetapi untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar Pahang merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pendidikan Melayu Pahang (CO-DIDIK) Berhad Kali Ke-86 di Dewan Atabara, Indera Mahkota 14, hari ini.

Menurut Dato’ Amizar, kejayaan koperasi tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan keuntungan atau nilai aset, sebaliknya melalui sejauh mana manfaatnya dapat dirasai anggota.

“Koperasi bukan sekadar sebuah organisasi perniagaan, tetapi wadah yang menghimpunkan kekuatan anggota untuk mencapai matlamat ekonomi dan kesejahteraan secara bersama,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tadbir urus, integriti, ketelusan dan akauntabiliti merupakan asas utama yang menentukan kelangsungan sesebuah koperasi.

“Koperasi yang mempunyai kewangan kukuh tetapi lemah dari segi tadbir urus tidak akan mampu bertahan dalam jangka panjang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepimpinan dan pengurusan CO-DIDIK meningkatkan kompetensi dalam bidang kewangan, perniagaan, pelaburan, teknologi, pengurusan risiko serta tadbir urus bagi mendepani perubahan pantas dunia perniagaan.

Dato’ Amizar berkata setiap perbelanjaan dan pelaburan koperasi mesti diurus secara berhemah kerana ia merupakan amanah anggota.

“CO-DIDIK tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian masa lalu. Koperasi perlu berani melakukan pembaharuan, mencari peluang baharu dan meneroka aktiviti perniagaan yang berdaya maju,” katanya.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.