KUALA TERENGGANU: Arena sukan permotoran negara diselubungi duka susulan pemergian pelumba muda, Farres Putra Mohd Fadhil selepas terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan akhir CP150 Kejuaraan MAM Malaysian Cub Prix 2026, petang Sabtu.
Kemalangan membabitkan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha–CKJ Racing itu berlaku di Selekoh 3 pada pusingan pembukaan perlumbaan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak.
Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) memaklumkan, Farres Putra yang menggunakan nombor perlumbaan 33 menerima rawatan kecemasan di litar sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia di hospital meskipun pasukan perubatan berusaha memberikan rawatan.
MAM turut merakamkan penghargaan terhadap tindakan pantas pasukan perubatan litar, petugas kecemasan, pegawai perlumbaan serta pihak penganjur dalam mengendalikan insiden berkenaan.
Keadaan dan faktor yang membawa kepada kemalangan itu akan diteliti mengikut prosedur sukan serta keselamatan yang berkuat kuasa.
Pemergian Farres Putra cukup menyentuh hati komuniti permotoran negara selepas pelumba berbakat itu baru sahaja meraih kemenangan sulung kategori CP150 pada pusingan ketiga kejuaraan di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan, Jun lalu.
MAM merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga, rakan sepasukan, sahabat serta seluruh warga CKJ Racing atas kehilangan tragis berkenaan.