Berita

Belanjawan 2027: Pahang Bakal Miliki Pusat Khas Kanak-Kanak Autistik

Kongsi
Belanjawan 2027: Pahang Bakal Miliki Pusat Khas Kanak-Kanak Autistik

Foto: Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Pahang bakal mempunyai sebuah Pusat PERMATA Kurnia bagi menyediakan kemudahan pendidikan, latihan dan sokongan khusus kepada kanak-kanak autistik menerusi pengumuman Belanjawan 2027, hari ini.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pahang dan Melaka dikenal pasti sebagai lokasi pembinaan dua pusat baharu berkenaan.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, sekali gus memperluas kemudahan pendidikan khas kepada kanak-kanak yang memerlukan intervensi dan sokongan pembelajaran.

Pengumuman tersebut dibuat bersama beberapa langkah memperkukuh kebajikan orang kurang upaya (OKU), termasuk peningkatan peruntukan bantuan kepada RM1.5 bilion yang dijangka memanfaatkan lebih 300,000 penerima di seluruh negara.

Anwar turut mengumumkan kenaikan Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas daripada RM150 kepada RM200 sebulan, melibatkan kira-kira 150,000 murid termasuk kanak-kanak autistik.

Selain itu, Insentif Pengajaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan, yang dijangka memberi manfaat kepada 20,000 guru pendidikan khas.

Kerajaan juga akan membuka lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu di kawasan luar bandar bagi memperluas peluang intervensi awal kepada kanak-kanak autistik daripada keluarga berpendapatan rendah.

Bagi Pahang, pembinaan Pusat PERMATA Kurnia itu dijangka menambah pilihan kemudahan pendidikan dan sokongan khusus kepada keluarga yang mempunyai anak autistik.

Bagaimanapun, lokasi tepat pembinaan, kos projek dan tempoh pelaksanaannya di Pahang belum diperincikan.

Pengumuman berkenaan merupakan sebahagian daripada langkah Kerajaan Persekutuan memperkukuh sistem sokongan pendidikan khas dan kebajikan OKU menerusi Belanjawan 2027. – JELAI POST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.