Foto: Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Tiga lokasi di Pahang mendapat perhatian khusus Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2027 apabila projek pembangunan semula kemudahan penjaja, naik taraf sistem pembetungan dan penambahbaikan prasarana pelancongan diumumkan hari ini.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat berkata, Kompleks Penjaja Jalan Chui Yin di Bentong merupakan antara premis yang dikenal pasti untuk pembangunan semula.
Projek berkenaan disenaraikan di bawah peruntukan hampir RM700 juta bagi projek kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, termasuk menaik taraf taman awam, tandas dan kemudahan penjaja.
Selain Bentong, kerajaan turut mengenal pasti Pasar Buntong di Ipoh, Perak dan tapak penjaja Hill Trace di Georgetown, Pulau Pinang untuk pembangunan semula.
Bagi Pulau Tioman pula, kerajaan mengumumkan langkah menaik taraf segera sistem pembetungan awam yang sudah terlalu usang.
Tioman disenaraikan bersama Pulau Tuba di Langkawi dan Pulau Redang sebagai lokasi yang memerlukan penambahbaikan sistem berkenaan.
Pengumuman itu menyusuli sesi libat urus Belanjawan 2027 yang diadakan di Pulau Tioman pada September lalu, apabila isu kemudahan asas termasuk bekalan air, pengurusan sisa dan prasarana pelancongan dibangkitkan oleh pemain industri tempatan.
Sementara itu, Taman Negara Pahang turut disenaraikan dalam usaha meningkatkan mutu kemudahan pelancongan dan tapak warisan yang berpotensi mendapat pengiktirafan UNESCO.
Inisiatif tersebut terkandung dalam peruntukan RM935 juta bagi sektor pelancongan dan kebudayaan negara, termasuk penyediaan geran galakan industri serta penambahbaikan kemudahan pelancongan.
Bagaimanapun, jumlah peruntukan khusus bagi setiap projek di Bentong, Tioman dan Taman Negara Pahang belum diperincikan.
Ketiga-tiga pengumuman itu melibatkan sektor berbeza, masing-masing pembangunan ekonomi penjaja kecil, kemudahan asas pulau peranginan dan pengukuhan produk pelancongan alam semula jadi.-JELAI POST