Berita

1,100 Pelajar Pahang Lead Dapat ‘Extra Push’ Hadapi SPM

Kongsi
1,100 Pelajar Pahang Lead Dapat ‘Extra Push’ Hadapi SPM

KUANTAN: Seramai 1,100 pelajar dari 11 daerah di Pahang bakal menerima bimbingan tambahan menerusi Program Skor A SPM Pahang Lead 2026 sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Program yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya itu menyasarkan 100 pelajar Pahang Lead Tier 2 bagi setiap daerah, dengan tumpuan diberikan kepada pengukuhan akademik menjelang peperiksaan.

Penolong Pengarah Kanan Akademi Pahang 1st, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, Bahasa Melayu dan Sejarah menjadi antara subjek utama diberi perhatian kerana kedua-duanya merupakan mata pelajaran wajib lulus bagi memperoleh sijil SPM.

“Program ini bukan sahaja memberi penekanan kepada teknik menjawab peperiksaan, malah turut membantu pelajar membina keyakinan diri, meningkatkan kefahaman terhadap format soalan serta mengukuhkan penguasaan subjek teras,” katanya kepada JelaiPost.

Menurutnya, pelaksanaan program turut mengambil kira keperluan pelajar di setiap daerah.

Justeru, selain Bahasa Melayu dan Sejarah, beberapa daerah turut memasukkan Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris dalam sesi bimbingan masing-masing.

Program berkenaan dilaksanakan Akademi Pahang 1st dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan Yayasan Pahang bagi menyediakan sokongan akademik, motivasi dan bimbingan kepada calon SPM.

Wan Emril Nizam berkata, pendekatan secara lebih tersusun itu diharap dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan pelajar sebelum mereka menduduki peperiksaan.

Program Skor A SPM Pahang Lead mula dilaksanakan pada 2025 dengan sasaran 1,100 pelajar dan jumlah penyertaan sama dikekalkan tahun ini melibatkan kesemua 11 daerah di Pahang.

Kesinambungan program itu juga menjadi sebahagian usaha memperkukuh pembangunan pendidikan dan modal insan muda di negeri ini.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.