Foto Kredit: Sinar Harian
ROMPIN: Nasib lebih 200 pesawah di Paya Sepayang kini membimbangkan apabila sebahagian besar tanaman padi musim ini terjejas teruk, sekali gus menyebabkan mereka berdepan kerugian dan kekurangan modal untuk meneruskan penanaman.
Masalah yang berlaku bukan berpunca daripada satu faktor sahaja. Kawasan sawah berdepan pertumbuhan keladi agas dan paku rawan yang tidak terkawal, manakala tanaman yang masih bertahan turut berdepan serangan ulat batang serta kutu beruang.
Keadaan itu memberi kesan besar kepada pesawah yang bergantung kepada hasil tanaman sebagai sumber pendapatan keluarga.
Lebih membimbangkan, masalah di Paya Sepayang bukan berlaku buat kali pertama. Ada pesawah mendakwa gangguan terhadap hasil tanaman telah berlarutan beberapa musim, namun keadaan kali ini antara yang paling serius pernah mereka hadapi.
Selain serangan perosak dan tumbuhan liar, terdapat juga tanaman yang bertukar kekuningan sebelum mati, dengan punca sebenar masalah berkenaan masih menjadi persoalan dalam kalangan pesawah.
Situasi itu kini bukan lagi sekadar soal kerugian untuk satu musim.
Persoalan lebih besar ialah kemampuan pesawah menyediakan semula modal untuk musim berikutnya sekiranya masalah berkenaan berterusan.
Justeru, perhatian dan tindakan segera agensi berkaitan amat diperlukan bukan sahaja bagi membantu pesawah yang terjejas, tetapi untuk mengenal pasti punca sebenar masalah serta memastikan kawasan pengeluaran padi di Paya Sepayang dapat terus dipertahankan.
Bagi keluarga yang bergantung kepada sawah sebagai punca rezeki, kegagalan satu musim bermakna kehilangan pendapatan berbulan-bulan.-JELAIPOST