KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan rundingan dan perbincangan dengan PAS sudah dan sedang berlangsung, sambil menyifatkan perkembangannya sebagai amat positif.
“Ya, perundingan dan perbincangan dengan PAS sudah dan sedang berjalan. Amat positif, Alhamdulillah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Hantaran disertai tanda pagar #PerpaduanUmmah itu turut memuatkan laporan mengenai kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kemungkinan penggunaan lambang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut laporan Berita Harian, Abdul Hadi menegaskan rundingan mengenai kerjasama dengan BN masih diteruskan, termasuk soal penggunaan lambang bagi menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.
PAS dilaporkan bersedia mempertimbangkan penggunaan lambang sendiri atau lambang BN, bergantung kepada hasil rundingan antara kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, bentuk kerjasama, pembahagian kerusi dan penggunaan lambang bagi PRN Melaka masih belum dimuktamadkan. -JELAIPOST