Berita

Pahang Perkukuh Kerjasama Ekonomi Dengan Kerajaan Persekutuan

Kongsi
Pahang Perkukuh Kerjasama Ekonomi Dengan Kerajaan Persekutuan

PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menyokong pembangunan ekonomi, menarik pelaburan berkualiti dan meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri itu.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara berkenaan menjadi tumpuan dalam kunjung hormat beliau bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri kepada Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, di pejabatnya di Putrajaya, pagi ini.

Menurut beliau, pertemuan itu turut membincangkan beberapa perkara berkaitan pembangunan ekonomi serta perancangan strategik yang mampu memberi manfaat kepada rakyat Pahang.

“Saya percaya, selain tadbir urus yang baik dan perancangan yang tersusun, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi memastikan setiap agenda pembangunan dapat diterjemahkan kepada hasil yang nyata untuk rakyat,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Wan Rosdy berkata, hubungan yang terus diperkukuh itu diharap dapat membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk Pahang melangkah lebih jauh dalam pembangunan ekonominya.

Beliau turut menyatakan harapan agar kerjasama berkenaan dapat menarik pelaburan berkualiti, memperkasa ekonomi negeri serta memastikan kemakmuran Pahang dinikmati seluruh rakyat.

Usaha itu seiring dengan aspirasi “Pahang1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan” yang menjadi pegangan pentadbiran Kerajaan Negeri.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.