MARAN: Pemimpin perlu sentiasa turun padang untuk melihat keadaan sebenar dan mendengar sendiri suara rakyat, kata Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, maklumat yang diperoleh melalui pertemuan dengan masyarakat boleh memberikan gambaran berbeza daripada laporan yang diterima di pejabat.
“Kadang-kadang, perkara yang kita lihat sendiri di lapangan memberi gambaran yang berbeza daripada apa yang kita baca dalam laporan.
“Sebab itu saya percaya, pemimpin perlu sentiasa turun padang. Kita tidak boleh hanya duduk di pejabat dan menunggu laporan.
“Kita mesti datang, kita mesti melihat dan kita mesti mendengar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Program Walk A Town With Tok Wan bersempena Karnival Aspirasi Pahang 1st 2026 Peringkat Daerah Maran di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Jengka, pada Jumaat.
Wan Rosdy berkata, program berjalan bersama masyarakat itu membuka ruang untuk beliau bertegur sapa, melihat aktiviti peniaga serta mendengar pandangan dan cerita penduduk setempat.
Menurutnya, hubungan rapat antara kerajaan dengan rakyat perlu disusuli kesediaan mendengar cadangan, meneliti perkara yang perlu diperbaiki dan mencari penyelesaian terhadap masalah dalam bidang kuasa kerajaan.
“Kalau rakyat ada cadangan, kita dengar. Kalau ada perkara yang perlu diperbaiki, kita teliti.
“Kalau ada masalah yang berada dalam bidang kuasa kerajaan, kita cuba cari jalan penyelesaiannya. Itulah maksud sebenar kerajaan yang dekat dengan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan sama diterapkan menerusi penganjuran Karnival Aspirasi Pahang 1st di daerah-daerah bagi membawa maklumat mengenai dasar, program dan inisiatif negeri lebih dekat kepada masyarakat.
Pada masa sama, katanya, karnival itu memberi peluang kepada Kerajaan Negeri mendengar sendiri pandangan rakyat mengenai keperluan mereka.
Wan Rosdy turut berharap program berkenaan dapat mengeratkan hubungan dengan masyarakat Maran dan warga Jengka, selain membantu kerajaan memahami kehidupan penduduk.
“Kadang-kadang dalam perjalanan yang tidak terlalu jauh, kita boleh mendengar cerita yang panjang.
“Dan daripada cerita-cerita itulah kita lebih memahami kehidupan rakyat,” katanya.-JELAIPOST
