Berita

ECRL: KotaSAS–Gombak 1 Jam 30 Minit : Wan Rosdy

Kongsi
ECRL: KotaSAS–Gombak 1 Jam 30 Minit : Wan Rosdy

Oplus_16908288

KUANTAN: Perjalanan ujian Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Stesen KotaSAS ke Terminal Bersepadu Gombak mengambil masa sekitar satu jam 30 minit bagi jarak kira-kira 150 kilometer, menurut Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, perjalanan itu memberi gambaran mengenai keupayaan ECRL sebagai pengangkutan rel moden yang pantas dan efisien, sekali gus bakal merapatkan hubungan Pahang dengan Lembah Klang.

Wan Rosdy bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai kanan Kerajaan Negeri berpeluang menaiki Comprehensive Inspection Train (CIT) bagi perjalanan berkenaan pada petang Khamis.

Menurutnya, perjalanan tersebut merupakan sebahagian daripada fasa pengujian ECRL untuk memastikan jajaran, sistem isyarat, bekalan elektrik serta komponen berkaitan berfungsi dengan baik sebelum perkhidmatan penumpang dimulakan.

Oplus_16908288

“Alhamdulillah, perjalanan sejauh kira-kira 150 kilometer dari KotaSAS ke Gombak dapat ditempuh dalam sekitar 1 jam 30 minit.

“Pengalaman ini memberi gambaran jelas tentang keupayaan ECRL sebagai sistem pengangkutan rel moden yang bukan sahaja pantas dan efisien, malah bakal menghubungkan Pahang dengan Lembah Klang dengan lebih dekat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Beliau berharap pengoperasian ECRL kelak membawa manfaat besar kepada rakyat, selain membuka lebih banyak peluang pelaburan, perdagangan dan pelancongan yang menyokong pembangunan ekonomi Pahang.

Hubungan pengangkutan itu juga dilihat berpotensi memperluas peluang ekonomi negeri apabila pergerakan antara Pahang dan Lembah Klang menjadi lebih mudah.

“ECRL bukan sekadar menghubungkan tempat, tetapi menghubungkan peluang dan masa depan,” katanya.

Dalam hantaran sama, Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Dato’ Sri Darwis Abdul Razak, atas peluang menyertai perjalanan ujian tersebut.-JELAIPOST

2 ulasan

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.