Foto: Farizul Awang / Pahang Media
CAMERON HIGHLANDS: Penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 membuka ruang promosi antarabangsa buat Pahang apabila Cameron Highlands dan Genting Highlands menjadi lokasi persaingan pelumba berbasikal dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerajaan negeri menyokong penuh perlumbaan berkenaan yang mendapat perhatian peminat sukan berbasikal di seluruh dunia.
Menurutnya, pemilihan kedua-dua destinasi itu turut menyerlahkan keunikan bentuk muka bumi Pahang yang menawarkan cabaran kepada pelumba.
“Kalau kita tengok di Cameron Highlands ini, ramai pelancong daripada luar Pahang, daripada luar negara, yang menyaksikan pertandingan ini,” katanya, memetik Pahang Media.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang peringkat keempat LTdL 2026 yang berakhir di Tanah Rata pada 30 September.
Fadzli berkata, kehadiran pelumba antarabangsa serta liputan meluas perlumbaan itu turut memperkenalkan Cameron Highlands kepada penonton dunia sebagai destinasi pelancongan.
Katanya, laluan berbukit di Cameron Highlands dan Genting Highlands sememangnya dinantikan pelumba kerana menuntut kekuatan fizikal serta kemampuan pendakian yang tinggi.
Beliau turut menjangkakan persaingan sengit apabila perlumbaan diteruskan ke Genting Highlands pada 1 Oktober, susulan cabaran pendakian yang bakal menguji keupayaan peserta.-JELAIPOST