KUANTAN: Sebanyak 122 hak milik tanah syarikat Berjaya di Bukit Tinggi, Bentong dilucutkan hak kepada Kerajaan Negeri Pahang susulan kegagalan menjelaskan tunggakan cukai tanah berjumlah lebih RM70 juta.
Menurut laporan Pahang Media, Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Encik Saifullah Muhammad Ali berkata, antara lokasi terlibat ialah kuarters pekerja, dobi, Rabbit Park dan Japanese Garden.
Beliau menjelaskan bahawa lokasi berkenaan berada di atas tanah yang telah dilucutkan hak dan kini menjadi tanah kerajaan.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Pahang sebelum ini memperoleh keputusan mahkamah yang memihak kepadanya dalam pertikaian semakan kadar cukai tanah membabitkan Berjaya Hills Resort Berhad dan pihak berkaitan.
Pada 16 Julai lalu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya secara sebulat suara menolak kesemua lima rayuan pihak berkenaan terhadap Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Pahang, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi serta mengesahkan kesahan semakan kadar cukai tanah negeri.
Menurut Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, mahkamah memutuskan bahawa kuasa menetapkan, menyemak dan meminda kadar cukai tanah merupakan kuasa eksklusif Pihak Berkuasa Negeri di bawah Kanun Tanah Negara.
Mahkamah turut memerintahkan pihak perayu membayar kos sebanyak RM100,000 kepada Kerajaan Negeri Pahang.
Wan Rosdy dalam kenyataannya ketika itu menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus mempertahankan hak serta hasil negeri melalui saluran undang-undang demi kepentingan rakyat dan pembangunan Pahang. -JELAIPOST