Oleh: Hidayat Jumri
Foto: Farizul Awang
KUALA LUMPUR, 10 September — UMNO perlu kembali menampilkan dirinya sebagai sebuah parti yang bukan sekadar mahu memenangi pilihan raya, sebaliknya mempunyai keupayaan untuk membina masa depan negara, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Paya Besar merangkap Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Mustaqim Zakaria.
Ketika menyampaikan ucapan perwakilan Pahang pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2026 di Dewan Tun Razak 4, WTC Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata pembangunan negara perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar termasuk pembinaan infrastruktur, penciptaan peluang ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat.
Menurut beliau, projek East Coast Rail Link (ECRL) merupakan antara mercu transformasi ekonomi yang mampu menghubungkan kawasan bandar, luar bandar, industri, pelabuhan serta pusat ekonomi dalam satu rangkaian pengangkutan moden.
Mustaqim turut mengaitkan usaha pembangunan tersebut dengan kepimpinan terdahulu UMNO dan Barisan Nasional yang menurutnya pernah menerajui agenda transformasi ekonomi negara.
“Itulah transformasi ekonomi yang telah UMNO dan Barisan Nasional lakukan bertahun-tahun dahulu, yang dinakhodai oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia dan Mantan Presiden UMNO, Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak.” Katanya lagi.
Beliau turut menyentuh mengenai ketiadaan Najib dalam perhimpunan tersebut, dengan mendakwa keadaan itu berpunca daripada apa yang disifatkannya sebagai “politik dendam”, yang menurutnya telah menyebabkan kebantutan transformasi negara.
Dalam pada itu, Mustaqim menegaskan konsep “government in waiting” yang dibawa UMNO perlu diterjemahkan melalui tawaran penyelesaian kepada rakyat dan bukannya sekadar kritikan terhadap kerajaan.
Katanya, UMNO perlu kembali membawa pendekatan yang mampu menangani cabaran sebenar rakyat termasuk kos sara hidup, peningkatan harga barangan, kos menjalankan perniagaan serta beban utiliti.
Beliau berkata pembangunan negara juga tidak boleh hanya diukur melalui projek mega, angka pertumbuhan ekonomi atau nilai pelaburan, sebaliknya mesti dapat dirasai oleh rakyat, peniaga kecil dan keluarga di seluruh negara.
“UMNO perlu menjadi kerajaan untuk membina masa depan bukan semata-mata untuk menang pilihan raya,” katanya.
Mustaqim turut menegaskan bahawa UMNO bukan sekadar tahu bagaimana untuk memimpin kerajaan, tetapi mempunyai pengalaman dalam membina negara satu legasi yang perlu diteruskan oleh generasi baharu parti.-JELAIPOST