TEMERLOH: Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menggesa siasatan segera selepas bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berkongsi beberapa halaman minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak di Facebook.
Wan Rosdy menyifatkan tindakan itu sebagai tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong. Beliau berkata kuasa pengampunan termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan keputusan yang diperkenankan Baginda tidak wajar dijadikan bahan polemik politik.
“Jangan sampai berlaku keadaan ‘kaduk naik junjung’, apabila kebebasan dan ruang yang diberikan disalahgunakan sehingga terlupa akan batas, adab dan tanggungjawab menghormati institusi negara,” katanya dalam kenyataan pada 18 November.
Wan Rosdy turut mempersoalkan bagaimana dokumen prosiding rasmi itu boleh sampai kepada umum, siapa yang bertanggungjawab menjaganya dan apakah prosedur yang dilalui untuk menyahklasifikasikannya. Beliau mahu siasatan meliputi kemungkinan pelanggaran undang-undang berkaitan isu 3R serta tatacara pengendalian dokumen kerajaan.
“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau prosedur, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa pilih kasih,” katanya.
Minit yang dikongsi Pua itu berkait mesyuarat pada 18 September lalu, apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International secara tahanan rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta. Pada 10 November, Mahkamah Tinggi memerintahkan tahanan rumah itu berkuat kuasa serta-merta hingga 23 Ogos 2028. Pada hari yang sama, Badan Peguam Malaysia memfailkan permohonan kebenaran untuk mencabar keputusan tersebut melalui semakan kehakiman.
Soal penyahklasifikasian minit sudah dibangkitkan di Dewan Rakyat pada 12 November. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika itu berkata beliau bersedia membawa cadangan berkenaan kepada Jemaah Menteri. Sehari kemudian, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata proses sedang diatur mengikut keperluan undang-undang, namun perkara itu tidak dibangkitkan secara langsung dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari tersebut.
Pua mendakwa minit itu telah dinyahklasifikasikan. Menurut Bernama, halaman yang dikongsinya merekodkan bantahan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh terhadap tahanan rumah Najib. Susulan perkongsian itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said meminta penjelasan rasmi sama ada minit tersebut sudah dinyahklasifikasikan, bila keputusan itu dibuat dan siapa yang meluluskannya. -JELAIPOST