Sukan

ANAK PAHANG GEGAR BANGKOK, BAWA PULANG EMPAT PINGAT KARATE

Kongsi

KUANTAN: Tiga atlet muda Pahang mencipta kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa apabila berjaya membawa pulang empat pingat pada 16th Thailand Open Karate Championship 2026 yang berlangsung di Kasetsart University, Bangkok, baru-baru ini.

Lebih manis, kejayaan itu hadir menerusi barisan atlet pelapis dan bakat Majlis Sukan Pahang (MSP), sekali gus membuktikan negeri ini tidak ketandusan bakat muda dalam sukan karate, memetik laporan Pahang Media, pada Selasa.

Muhammad Rayyan Mikhail Mohd Shamshul, 12, tampil cemerlang apabila menghadiahkan pingat emas menerusi kategori Kata Individu Lelaki Bawah 14 Tahun (U14).

Turut mencuri tumpuan, Wan Amal Dahlia Wan Mohd Haslan, 12, yang berjaya meraih pingat perak dalam kategori Kata Individu Bawah 14 Tahun (U14).

Sementara itu, Raesha Medina Redha Akmal, 10, membuktikan kemampuan luar biasa apabila menyumbang dua pingat gangsa masing-masing dalam acara Kata Individu Perempuan Bawah 12 Tahun (U12) dan Kumite Individu Perempuan U12 35 kilogram.

Kejayaan tiga anak Pahang ini bukan sekadar membawa pulang pingat, malah memberi gambaran jelas bahawa program pembangunan atlet pelapis negeri berada di landasan tepat.

Pada usia semuda 10 hingga 12 tahun, mereka sudah berani bersaing di pentas antarabangsa dan pulang dengan pencapaian membanggakan.

Hari ini mereka membawa nama Pahang ke Bangkok. Esok, tidak mustahil mereka pula membawa nama Malaysia ke pentas dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *