Berita

Najib Dibenar Jalani Baki Hukuman Secara Tahanan Rumah Hingga 23 Ogos 2028

Kongsi
Najib Dibenar Jalani Baki Hukuman Secara Tahanan Rumah Hingga 23 Ogos 2028

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 selepas diperkenankan pengampunan bersyarat oleh Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim.

Menurut siaran media Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri bertarikh 18 September 2026, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung hari ini.

Pengampunan bersyarat berkenaan tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta oleh Najib.

Beliau turut diwajibkan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sepanjang menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Sekiranya mana-mana syarat berkenaan tidak dipatuhi, pengampunan bersyarat itu akan terbatal dan Najib perlu serta-merta meneruskan baki hukumannya di penjara.

Mesyuarat Lembaga Pengampunan pagi ini menjadi tumpuan selepas permohonan pengampunan Najib ditangguhkan pada mesyuarat kali ke-63 yang berlangsung pada 11 September lalu. RTM melaporkan Lembaga Pengampunan kembali bersidang di Istana Negara pagi tadi bagi mempertimbangkan semula permohonan bekas Perdana Menteri itu. 

Keputusan terbaharu itu bermakna Najib akan menjalani baki tempoh hukumannya di kediaman sehingga tarikh berakhir hukuman pada 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pematuhan semua syarat yang ditetapkan dalam pengampunan berkenaan.

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.