Berita

Hasil Pahang Lepasi RM1 Bilion Untuk Tahun Kelima Berturut-Turut – Wan Rosdy

Kongsi
Hasil Pahang Lepasi RM1 Bilion Untuk Tahun Kelima Berturut-Turut – Wan Rosdy

TEMERLOH, 16 Sept – Kutipan hasil Kerajaan Negeri Pahang bagi tahun 2026 sudah melepasi RM1 bilion, sekali gus mencatat pencapaian itu untuk lima tahun berturut-turut.

Menurut Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, pencapaian kali ini lebih signifikan apabila angka RM1 bilion berjaya dicapai seawal September, berbanding tempoh sama pada tahun-tahun sebelumnya apabila kutipan hasil negeri masih sekitar RM800 juta hingga RM900 juta.

“Pada malam ini, suka saya nak umumkan, kutipan hasil negeri bagi tahun 2026 sehingga hari ini telah pun melepasi angka RM1 bilion, untuk lima tahun berturut-turut, tanpa membebankan rakyat,” katanya.

“Pencapaian itu mencerminkan pengurusan kewangan dan pentadbiran negeri yang semakin kukuh hasil usaha memperkemas sistem kutipan, meningkatkan kecekapan pentadbiran, mengawal ketirisan serta mengoptimumkan sumber negeri.” Katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang 2026 di Dataran Tun Razak, Temerloh, malam ini.

Pada masa sama, syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) terus diperkukuh supaya mampu memberikan pulangan lebih baik kepada negeri.

Prestasi itu bergerak seiring perkembangan ekonomi Pahang apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri bagi 2025 meningkat kepada kira-kira RM71 bilion berbanding RM68.8 bilion pada 2024.

Pahang turut merekodkan pelaburan sekitar RM18 bilion pada tahun lalu, yang menurut Wan Rosdy menunjukkan keyakinan pelabur terhadap potensi serta hala tuju pembangunan negeri.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa peningkatan hasil negeri bukan sekadar angka untuk dibanggakan, sebaliknya perlu dikembalikan kepada rakyat menerusi program pembangunan dan kesejahteraan.

Antaranya termasuk pemberian Rumah Rakyat Pahang secara percuma kepada golongan miskin, bantuan peralatan persekolahan, buku rujukan pelajar, bantuan RM400 kepada pelajar yang memasuki universiti, RM300 bagi perkahwinan kali pertama dan RM750 sebagai duit poket jemaah haji.

Dalam pada itu, sempena sambutan Hari Malaysia, Wan Rosdy mengingatkan bahawa pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 bukan sekadar satu catatan sejarah, sebaliknya membawa makna besar tentang kehidupan bersama dalam sebuah negara yang dibina atas semangat saling menghormati dan menerima kepelbagaian.

Katanya, meskipun rakyat Malaysia berbeza kaum, agama, budaya dan latar belakang, semua berkongsi sebuah negara serta masa depan yang sama.

“Keamanan, kestabilan dan perpaduan adalah perkara yang mesti kita jaga bersama,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik dan perpaduan masyarakat mempunyai hubungan langsung dengan pembangunan ekonomi negeri.

Menurutnya, pelabur memerlukan keyakinan bahawa pentadbiran kekal stabil dan dasar tidak berubah-ubah sehingga menjejaskan perancangan jangka panjang.

“Kestabilan bukan hanya soal politik. Kestabilan adalah soal ekonomi, peluang pekerjaan dan masa depan rakyat,” katanya.

Dalam konteks masyarakat pula, Wan Rosdy berkata rakyat Pahang daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India, Orang Asli serta komuniti lain mempunyai peranan masing-masing dalam membangunkan negeri.

Beliau berkata perbezaan pandangan merupakan perkara biasa, namun ia tidak seharusnya membawa kepada perpecahan.

“Kita berbeza, tetapi jangan berpecah,” katanya sambil menegaskan pentingnya masyarakat terus duduk bersama, berbincang dan bekerjasama demi kepentingan negeri.

Wan Rosdy turut mengingatkan generasi muda supaya tidak melupakan sejarah dan nilai yang menyatukan rakyat ketika mengejar kemajuan.

Menurut beliau, generasi muda perlu dilengkapi pendidikan, kemahiran dan penguasaan teknologi supaya mampu bersaing, namun pada masa sama perlu memahami bahawa keamanan dan kemajuan negara hari ini dibina melalui pengorbanan generasi terdahulu.

Beliau berkata Pahang kini berada pada landasan yang baik dengan ekonomi, pelaburan, KDNK serta hasil negeri terus berkembang, namun kerajaan tidak boleh berasa selesa dengan pencapaian sedia ada.

Kerajaan negeri, katanya, mahu terus menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan rakyat.

“Marilah kita terus melangkah bersama sebagai satu keluarga besar Pahang Darul Makmur,” katanya lagi.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.