Berita

Aset S-GLC Pahang Cecah RM11.3 Bilion, Sumbang RM709 Juta Kepada Kerajaan Negeri Sejak 2019

Kongsi
Aset S-GLC Pahang Cecah RM11.3 Bilion, Sumbang RM709 Juta Kepada Kerajaan Negeri Sejak 2019

Foto: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail

GENTING HIGHLANDS: Prestasi syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC) Pahang terus menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah aset keseluruhan meningkat kepada RM11.3 bilion pada 2025, dengan hasil mencecah RM2.7 bilion dan keuntungan bersih RM525 juta.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, S-GLC negeri turut memberikan pulangan melebihi RM153 juta kepada Kerajaan Negeri bagi tahun 2025.

Menurut beliau, bagi tempoh 2019 hingga 2025, jumlah keseluruhan sumbangan S-GLC kepada Kerajaan Negeri telah mencecah RM709 juta.

Perkara itu dinyatakan Wan Rosdy menerusi kenyataannya selepas merasmikan Persidangan S-GLC Negeri Pahang 2026 di Genting Highlands, hari ini.

Persidangan bertemakan “Pahang 1st: Memacu Pertumbuhan, Memperkasa Masa Hadapan” itu menghimpunkan lebih 300 Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif, pengurusan kanan S-GLC serta Ketua Jabatan Kerajaan Negeri.

Wan Rosdy berkata, Pahang kini mempunyai sembilan syarikat induk S-GLC dan 48 anak syarikat yang terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negeri.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan S-GLC tidak seharusnya diukur berdasarkan angka keuntungan semata-mata.

Sebaliknya, aset dan kekuatan kewangan yang dimiliki perlu diterjemahkan kepada pelaburan, peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi serta manfaat lebih besar kepada rakyat Pahang.

Beliau turut mahu S-GLC negeri lebih berani meneroka peluang baharu, meningkatkan daya saing serta memainkan peranan lebih aktif dalam menarik dan merealisasikan pelaburan berkualiti ke Pahang.

Menurut Wan Rosdy, dengan kesungguhan dan kesepaduan semua pihak, S-GLC akan terus menjadi antara kekuatan utama dalam membina Pahang yang lebih makmur, berdaya saing dan sentiasa ke hadapan. -JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.