LIPIS: Pasar Awam Padang Tengku mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul juara Kempen Pasar Awam Bersih 2026, sekali gus mengharumkan nama daerah Lipis dan Negeri Pahang di peringkat kebangsaan.
Kejayaan itu diraih Majlis Daerah Lipis (MDL) sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang berlangsung di Bertam Resort, Pulau Pinang, pada 13 September.
MDL menerusi Pasar Awam Padang Tengku berjaya meraih tempat pertama, mengatasi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di tempat kedua dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang di tempat ketiga.
Anugerah berkenaan disampaikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Lipis, YH Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Pencapaian itu menjadi pengiktirafan terhadap usaha berterusan MDL bersama pengurusan pasar, para peniaga dan komuniti setempat dalam memastikan tahap kebersihan, keceriaan, keselamatan serta pengurusan Pasar Awam Padang Tengku sentiasa berada pada tahap terbaik.
Kejayaan di pentas kebangsaan itu turut membuktikan bahawa sebuah pasar awam di peringkat daerah mampu menjadi penanda aras dalam aspek kebersihan dan pengurusan apabila semua pihak memberikan komitmen secara bersama.
Ia juga mencerminkan keberkesanan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dan peniaga dalam mewujudkan suasana perniagaan yang lebih bersih, selamat serta selesa kepada masyarakat.
Pengiktirafan tersebut sekali gus memberi makna kepada aspirasi “Pasar Bersih, Peniaga Ceria, Komuniti Sejahtera” yang diterjemahkan melalui tindakan, disiplin dan kesedaran bersama.
Kejayaan Pasar Awam Padang Tengku itu bukan sahaja menjadi kebanggaan warga Lipis, malah turut membawa nama Pahang sebagai antara negeri yang mampu menampilkan pengurusan pasar awam terbaik di peringkat nasional.-JELAIPOST