Berita

Alumni Pahang Lead Timba Pengalaman Politik dan Kepimpinan di PAU 2026

Kongsi
Alumni Pahang Lead Timba Pengalaman Politik dan Kepimpinan di PAU 2026

KUALA LUMPUR: Seramai 10 alumni Pahang Lead diberi peluang mengikuti perjalanan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sekali gus memperoleh pendedahan langsung dalam bidang politik dan kepimpinan.

Peluang yang diberikan Menteri Besar Pahang merangkap Naib Presiden UMNO, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail itu membolehkan anak muda berkenaan melihat sendiri perjalanan persidangan, dinamika kepimpinan serta pengurusan sebuah parti politik utama negara.

Muhammad Farid Muhammad Zailan menyifatkan penyertaannya sebagai peluang keemasan untuk memahami politik dan gerak kerja organisasi dengan lebih dekat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Wan Rosdy kerana membuka ruang kepada alumni Pahang Lead mengikuti sendiri perhimpunan terbesar UMNO itu.

Nur Waheeda Abd Manaf pula berkata, PAU 2026 memperlihatkan semangat ahli UMNO daripada pelbagai peringkat usia untuk terus menyumbang kepada parti dan negara.

“Tidak kira dalam kalangan belia mahupun bukan belia, semuanya masih bersemangat untuk memberikan sumbangan kepada negara,” katanya.

Dari kiri: Muhammad Farid bin Muhammad Zailan, Nur Waheee binti Abd Manaf, Ahmad Syaraf Iman bin Abd Manaf dan Muhammad Azmi Irfan bin Md Nur Azmira-JELAIPOST

Sementara itu, Ahmad Syaraf Iman Ahmad Shohaimi berpandangan perhimpunan berkenaan turut menyerlahkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Bagi Muhammad Azmi Irfan Md Nur Azmira, 18, dari Pekan, pengalaman memasuki dewan persidangan dan menyaksikan sendiri perjalanan PAU menjadi pendedahan baharu yang cukup bermakna buat dirinya sebagai generasi pelapis.

Penyertaan alumni Pahang Lead itu mencerminkan pendekatan Wan Rosdy dalam membina barisan kepimpinan masa hadapan—bukan sekadar melalui latihan dan teori, tetapi dengan membawa anak muda melihat sendiri realiti medan politik.

Pendedahan langsung seperti ini penting bagi melahirkan generasi yang memahami perjuangan parti, mempunyai pengalaman sebenar serta bersedia memikul tanggungjawab kepimpinan pada masa hadapan.

PAU 2026 berlangsung selama empat hari bermula 9 hingga 12 September dengan menghimpunkan 6,401 perwakilan, melibatkan 2,922 perwakilan UMNO induk, Wanita (1,163), Pemuda (1,171) dan Puteri (1,145).

Acara utama pada 11 dan 12 September melibatkan upacara menaikkan Sang Saka Bangsa, Ucapan Dasar Presiden, perbahasan usul serta ucapan penggulungan barisan kepimpinan.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.