Berita

Helikopter Doktor Udara Bawa Lima Individu Terhempas di Long Lellang

Kongsi
Helikopter Doktor Udara Bawa Lima Individu Terhempas di Long Lellang

Screenshot

Foto kredit: BERNAMA

MIRI – Sebuah helikopter yang menjalankan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Marudi, Sarawak, petang hari ini.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan, helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF itu membawa lima individu termasuk juruterbang.

CAAM menerima maklumat mengenai kejadian tersebut daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada kira-kira pukul 3.58 petang.

Helikopter berkenaan dipercayai dikendalikan oleh sebuah syarikat penerbangan yang berpangkalan di Miri bagi melaksanakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak.

Gambar dari lokasi kejadian menunjukkan helikopter tersebut musnah dan terbakar selepas terhempas berhampiran landasan.

Bagaimanapun, setakat laporan awal dikeluarkan, keadaan serta identiti kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter itu masih belum dapat dipastikan.

Pihak berkuasa dijangka mengeluarkan maklumat lanjut selepas operasi kecemasan dan siasatan awal di lokasi selesai.

Satu ulasan

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.