Berita

Lima Mangsa Nahas Helikopter ‘Flying Doctor’ Disahkan Meninggal Dunia

Kongsi
Lima Mangsa Nahas Helikopter ‘Flying Doctor’ Disahkan Meninggal Dunia

Foto: Sarawak Tribune

MIRI: Kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Sarawak, petang Selasa disahkan meninggal dunia.

Menurut laporan BERNAMA, perkara itu disahkan oleh Residen Bahagian Miri, Galong Luang.

Helikopter jenis BO-105 berkenaan membawa seorang juruterbang bersama empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan dua jururawat.

Pesawat yang berlepas dari Miri itu dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport) ketika menjalankan tugas rasmi.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan menerima notifikasi mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.

Siasatan bagi mengenal pasti punca nahas akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut peraturan penerbangan awam yang berkuat kuasa.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan KKM sedang menghubungi waris dan ahli keluarga petugas terlibat bagi memberikan sokongan sewajarnya.

lagi Berita:

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.