Politik

72 Parti Perlu Nyatakan Pendirian, Akta Pendanaan Politik Disasar Sebelum PRU16

Kongsi
72 Parti Perlu Nyatakan Pendirian, Akta Pendanaan Politik Disasar Sebelum PRU16

KUALA LUMPUR – Semua 72 parti politik berdaftar di negara ini diminta mengemukakan pendirian rasmi secara bertulis berhubung cadangan penggubalan Akta Pendanaan Politik sebelum perkara itu dibawa ke Kabinet.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pendirian itu perlu ditandatangani oleh Presiden atau Setiausaha Agung bagi memastikan ia benar-benar mewakili keputusan parti dan bukan pandangan individu.

Menurutnya, langkah tersebut penting kerana parti politik dan ahli politik merupakan antara pihak utama yang akan tertakluk kepada undang-undang berkenaan.

“Saya mahu tahu parti politik mana yang setuju dan tidak setuju. Kalau panggil dan tanya ahli politik, ia tidak sama dengan pendirian parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvensyen Pendanaan Politik 2026 bertemakan ‘Reformasi Institusi: Membina Kepercayaan, Memperkukuh Demokrasi’ di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Bangunan Sulaiman, di sini, hari ini.

Azalina berkata, sembilan parameter dasar sedang diperhalusi bagi memastikan mekanisme pendanaan politik yang bakal diperkenalkan lebih telus, praktikal, tegas dan adil tanpa mengekang proses demokrasi.

Antaranya melibatkan skop pemakaian undang-undang, penubuhan badan kawal selia, sumber serta had sumbangan, larangan dana asing dan saluran penerimaan dana yang boleh dijejaki.

Aspek lain termasuk pelaporan, pengauditan, pendedahan maklumat, perlindungan penderma serta penetapan kesalahan dan penalti.

Menurutnya, kajian persepsi awam dan sesi libat urus yang dilaksanakan sebelum ini menunjukkan penerimaan positif terhadap cadangan mewujudkan undang-undang khusus berkaitan pendanaan politik.

Bagaimanapun, beberapa isu masih perlu diperhalusi termasuk kemungkinan pelepasan cukai kepada penderma, sumbangan kepada parti lain serta mekanisme melindungi penderma yang membuat sumbangan secara sah.

Beliau turut menegaskan bahawa dana asing perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan sumbangan politik digunakan untuk mempengaruhi keputusan atau dasar negara.

Azalina berkata, Akta Pendanaan Politik dijangka dapat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 sekiranya pilihan raya diadakan selepas cukup penggal pada awal 2028.

Namun, pelaksanaannya bergantung kepada proses penelitian lanjut serta persetujuan parti-parti politik di negara ini.

Konvensyen berkenaan dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.