Foto: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail
CAMERON HIGHLANDS, 8 SEPTEMBER 2026 – Institusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu terus diperkukuh bagi memastikan suara rakyat sentiasa diberikan perhatian serta diterjemahkan melalui tadbir urus yang baik.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerjasama dan perkongsian pengalaman antara Speaker Parlimen dengan Speaker DUN seluruh negara penting dalam memperkasakan peranan institusi legislatif.
Beliau berkata, Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia Tahun 2026 menyediakan ruang terbaik untuk berkongsi pengalaman, bertukar pandangan serta meneliti kaedah memperkukuh Parlimen dan DUN dalam melaksanakan peranan masing-masing.
“Insya-Allah, melalui perkongsian dan kerjasama sebegini, institusi legislatif negara akan terus kukuh dalam memastikan suara rakyat sentiasa diberi perhatian dan diterjemahkan melalui tadbir urus yang baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya, hari ini.
Wan Rosdy yang merasmikan persidangan berkenaan turut menyifatkan peluang tersebut sebagai satu penghormatan, lebih-lebih lagi apabila Cameron Highlands menjadi tuan rumah kepada Speaker dari seluruh Malaysia.
Antara pimpinan utama institusi legislatif yang hadir ialah Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari Abdul; Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato’ Awang Bemee Awang Ali Basah; Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato’ Dr. Ramli Mohd Nor; serta Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin.
Persidangan yang berlangsung dari 6 hingga 9 September itu menghimpunkan Speaker dan Timbalan Speaker dari seluruh negara bagi bertukar pandangan serta pengalaman berkaitan pengurusan dan perjalanan institusi legislatif di peringkat Persekutuan dan negeri.
Sebagai latar belakang, Pahang dipilih menjadi tuan rumah edisi 2026 selepas mendapat persetujuan Speaker-Speaker seluruh negara, manakala Cameron Highlands dipilih kerana keunikannya sebagai antara destinasi pelancongan tanah tinggi utama negara.
Sebelum persidangan rasmi bermula, para delegasi turut dibawa melawat Mossy Forest dan Sungai Palas Tea Plantation. Program tersebut bukan sahaja memperkenalkan keindahan Cameron Highlands, malah membuka ruang kepada delegasi mengeratkan hubungan dalam suasana lebih santai.
Persidangan terdahulu berlangsung di Kuching, Sarawak pada 2024 dan Langkawi, Kedah pada 2022. Penganjurannya menjadi medan pertukaran amalan terbaik, pengalaman serta pandangan dalam usaha memperkukuh kewibawaan badan perundangan dan kepercayaan rakyat terhadap institusi demokrasi negara. – JELAIPOST