Berita

RM17.5 Juta Perkukuh Kebajikan Kesihatan Rakyat Pahang Tahun Ini

Kongsi
RM17.5 Juta Perkukuh Kebajikan Kesihatan Rakyat Pahang Tahun Ini

Foto: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LIPIS: Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sekurang-kurangnya RM17.5 juta tahun ini bagi membantu rakyat mendapatkan rawatan kesihatan, khususnya warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesara tentera dan polis.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM16 juta disediakan menerusi Kad Kesihatan Kasih Makmur bagi menawarkan rawatan percuma di klinik swasta kepada kumpulan berkenaan.

Selain itu, kerajaan negeri menyediakan RM1.5 juta bagi meneruskan Program Subsidi Pembedahan Katarak Warga Emas yang dijangka memberi manfaat kepada tambahan 1,020 pesakit sepanjang tahun ini.

Menurutnya, program tersebut telah membantu seramai 1,509 pesakit sejak 2024 menerusi peruntukan berjumlah RM2.5 juta.

“Apa yang kita mampu, kita buat. Kita tidak mahu kesihatan hanya menjadi urusan hospital, sebaliknya ia perlu menjadi budaya dalam masyarakat.

“Kalau kita mahu Pahang terus maju, rakyat kita juga mesti sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pahang 1st Kepada Petugas Kesihatan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang Tahun 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Majlis anjuran Kerajaan Negeri Pahang itu diadakan khusus sebagai tanda penghargaan kepada 11,870 petugas kesihatan yang berkhidmat di seluruh negeri.

Ia melibatkan doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan, pegawai farmasi, pegawai pergigian, pembantu perawatan kesihatan, pemandu ambulans serta seluruh warga kerja kesihatan.

Wan Rosdy berkata, penghargaan itu amat bermakna terutama kepada petugas yang bekerja di kawasan pedalaman dan terpaksa menempuh perjalanan jauh, meredah hutan serta menyeberangi sungai untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Menurutnya, kemajuan ekonomi negeri perlu diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan dan kualiti kehidupan rakyat.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pahang mencecah RM71 bilion pada 2025 berbanding RM68.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Pahang turut menarik pelaburan berimpak tinggi berjumlah RM18.04 bilion, manakala kutipan hasil kerajaan negeri berjaya melepasi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut.

“Angka-angka ini bukan matlamat terakhir. Yang penting, kemajuan itu dapat dirasai rakyat dan mereka hanya dapat menikmatinya dengan sebaik-baiknya apabila berada dalam keadaan sihat,” katanya.

Kerajaan negeri turut melaksanakan beberapa program kesihatan, antaranya:

  • Program Subsidi Pembedahan Katarak Warga Emas
  • Kad Kesihatan Kasih Makmur
  • Komuniti Bebas Denggi (KomBeD)
  • KOSPEN bagi saringan awal penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis
  • Kempen Moh Kita Celik Ubat dan Tolak Ubat Tidak Sah
  • Program Desa-Q Sihat
  • Program Pemfluoridaan Bekalan Air Awam
  • Program Destinasi Makan-Makan Selamat Negeri Pahang

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, Pahang kini mempunyai 12 hospital kerajaan, 95 Klinik Kesihatan, 231 Klinik Desa dan 66 Klinik Pergigian.

“Pahang mahu terus maju, tetapi kemajuan sebenar ialah apabila rakyat dapat hidup lebih sihat, selamat dan sejahtera.

“Itulah semangat Pahang 1st. Rakyat didahulukan, kebajikan rakyat dijaga dan tiada siapa yang kita tinggalkan,” katanya.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.