Berita

RM1.5 Juta Perkasa Seni dan Budaya, Gema Citra Pahang 1st Cungkil Bakat Tempatan

Kongsi
RM1.5 Juta Perkasa Seni dan Budaya, Gema Citra Pahang 1st Cungkil Bakat Tempatan

Foto: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail

LIPIS – Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi pelaksanaan Program Gema Citra Pahang 1st di kesemua 14 kawasan Parlimen sebagai usaha memperkasakan seni, budaya dan bakat tempatan di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program itu bukan sekadar menyediakan hiburan kepada masyarakat, sebaliknya menjadi pentas untuk mengetengahkan bakat baharu serta memberi ruang kepada penggiat seni tempatan yang mungkin sudah lama tidak berpeluang membuat persembahan.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Gema Citra Pahang 1st Parlimen Cameron Highlands yang berlangsung di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan, malam tadi.

Menurut Wan Rosdy, Cameron Highlands bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi, sektor pelancongan dan hasil pertanian, malah turut mempunyai masyarakat yang kaya dengan seni, budaya serta pelbagai bakat yang berpotensi diketengahkan.

“Tok Wan memang suka program seperti ini kerana ia bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi ruang untuk mengangkat bakat-bakat tempatan.

“Melalui Gema Citra Pahang 1st, kita mahu memberi peluang kepada bakat baharu dan pada masa sama menemukan semula penggiat seni yang mungkin sudah lama tidak berada di pentas,” katanya.

Wan Rosdy berkata, seni dan budaya juga mampu menjadi medium penting dalam menyatukan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Katanya, program seumpama itu bukan sahaja menghidupkan kegiatan seni di peringkat akar umbi, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk saling mengenali, menghargai serta memperkukuh hubungan antara satu sama lain.

“Dalam masyarakat yang berbilang latar belakang, seni dan budaya menjadi ruang untuk kita saling mengenali, menghargai dan hidup bersama dengan lebih baik,” katanya.

Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian kepada usaha memelihara dan memperkasakan seni, budaya serta warisan Pahang agar terus diwarisi generasi akan datang.

“Kita mahu anak-anak kita bukan sekadar mengenali warisan Pahang, tetapi menjadi pewaris dan penerusnya agar tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Program berkenaan turut mendapat sambutan masyarakat setempat yang hadir memeriahkan suasana di Laman Sejahtera Jelai.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Cameron Highlands merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, YB Dato’ Sri Ramli Mohd Nor serta Pengarah Sekretariat Apresiasi Pahang 1st, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.