Foto: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail
KUANTAN: Pembukaan Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan bernilai RM146 juta bakal memperkukuh jaringan pengangkutan serta merancakkan aktiviti perdagangan dan perindustrian di kawasan berkenaan.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek itu bukan sahaja melancarkan pergerakan pengguna jalan raya, malah meningkatkan hubungan ke Pelabuhan Kuantan yang menjadi antara pintu masuk perdagangan utama negeri.
“Pembukaan persimpangan ini bukan sekadar menambah baik jaringan jalan raya, tetapi menjadi satu lagi pemangkin kepada pergerakan yang lebih lancar, hubungan yang lebih baik serta aktiviti ekonomi yang lebih rancak di sekitar Pelabuhan Kuantan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan persimpangan berkenaan bersama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah, petang tadi.
Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Ekonomi menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), atas peruntukan bagi merealisasikan pembangunan Jalan KPC Port Link.
Penghargaan sama turut diberikan kepada Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, LPT2 Sdn. Bhd. serta semua kementerian, agensi dan rakan pelaksana yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan.
Menurutnya, persimpangan baharu itu diharap dapat memberikan manfaat besar kepada pengguna jalan raya, komuniti setempat dan sektor perniagaan, khususnya melalui akses yang lebih lancar ke kawasan pelabuhan.
“Usaha ini akan membuka lebih banyak ruang untuk pelaburan, perkembangan perniagaan, peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi kepada rakyat Pahang.
“Insya-Allah, Pahang akan terus bergerak ke hadapan dengan memperkukuh asas pembangunan serta membina negeri yang lebih maju, makmur dan berdaya saing, selaras dengan Aspirasi Pahang 1st,” katanya.-JELAIPOST