KUANTAN: Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 perlu menjadi pemangkin kepada seluruh rakyat untuk meneruskan perjuangan membangunkan negara serta mewariskan masa depan lebih baik kepada generasi akan datang.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi turut memberi kebebasan kepada rakyat untuk menentukan masa depan negara.
“Enam puluh sembilan tahun lalu, generasi terdahulu berjuang untuk sebuah masa depan yang belum mereka lihat. Hari ini, kita menikmati hasil perjuangan mereka.
“Justeru, dalam dunia yang berubah pantas, kita mesti berani berubah, menguasai teknologi, memperkukuh ekonomi dan meningkatkan kecekapan pentadbiran,” katanya menerusi perutusan sempena Hari Kebangsaan Ke-69.

Menurut beliau, Pahang mesti terus berkembang dengan memastikan setiap agenda pembangunan membawa manfaat serta kesejahteraan kepada rakyat.
Katanya, Kerajaan Negeri mahu membina ekonomi yang lebih kukuh, menyediakan peluang lebih luas serta melahirkan anak muda Pahang yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
“Inilah semangat Aspirasi Pahang 1st, iaitu membangunkan negeri dengan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.
“Marilah kita bersama-sama membina warisan yang akan dibanggakan oleh generasi akan datang,” katanya.
Wan Rosdy berkata, dengan semangat kebersamaan dan kecintaan kepada tanah air, Pahang diyakini akan terus maju dan makmur, manakala rakyatnya terus menikmati kehidupan yang sejahtera.
“Insya-Allah, Pahang akan terus maju dan makmur, rakyatnya terus sejahtera dan Malaysia kekal aman, berdaulat serta dihormati.
“Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-69.” Ucapnya.-JELAIPOST