KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menyeru seluruh rakyat supaya mempertahankan kemerdekaan negara serta terus memperkukuh perpaduan demi masa depan generasi akan datang.
Beliau berkata, kemerdekaan bukan sekadar laungan, sebaliknya merupakan amanah yang perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
“Merdeka adalah amanah untuk kita pertahankan, perpaduan untuk kita kukuhkan dan negara untuk kita wariskan kepada generasi akan datang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya, pada Isnin.
Terdahulu, beliau mengiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan berangkat mencemar duli ke Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Padang MBK 4, Kemunting, di sini.
Turut berangkat, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Wan Rosdy berkata, sambutan Hari Kebangsaan merupakan detik yang dinantikan saban tahun untuk rakyat berhimpun, menghayati erti kemerdekaan dan menyemarakkan kembali rasa cinta terhadap tanah air.
Menurutnya, meskipun berbeza kaum, agama dan latar belakang, seluruh rakyat Malaysia tetap berdiri teguh di bawah satu Jalur Gemilang dengan cita-cita yang sama untuk melihat negara terus aman, bersatu dan maju.
“Malaysia tanah tumpah darah kita”. Katanya.-JELAIPOST