Berita

UPNP Serbu Aktiviti Mineral Haram di Raub, Tiga Lori Treler Disita

Kongsi
UPNP Serbu Aktiviti Mineral Haram di Raub, Tiga Lori Treler Disita

KUANTAN: Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menggempur kegiatan pemindahan bahan mineral yang disyaki bijih besi di Sungai Batu, Mukim Batu Talam, Raub, semalam.

Operasi hasil risikan dan pemantauan menggunakan dron itu membawa kepada penahanan tiga pemandu serta penyitaan tiga lori treler yang dipercayai digunakan untuk membawa keluar bahan mineral berkenaan.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemeriksaan mendapati pemandu mengemukakan Borang 13D dan Delivery Order (DO) daripada kelulusan kawasan lain.

Bagaimanapun, lokasi stokpile yang ditunjukkan didapati berada di luar kawasan perlombongan dibenarkan serta terletak di kawasan berstatus Lesen Pendudukan Sementara (LPS).

Ketiga-tiga pemandu juga gagal mengemukakan dokumen atau kelulusan sah berkaitan lokasi berkenaan.

“Kerajaan Negeri Pahang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti berkaitan sumber mineral tanpa mematuhi undang-undang, syarat lesen, permit dan kelulusan yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Operasi berkenaan dilaksanakan 23 anggota UPNP daripada Zon Pahang Barat, Zon Pahang Tengah, Sektor Penyelidikan dan Remote Sensing serta Sektor Tugas Khas.

UPNP turut merampas tiga keping Borang 13D dan mengambil dua sampel bahan mineral yang disyaki bijih besi bagi tujuan siasatan serta pendakwaan.

Tindakan sitaan dan tangkapan dibuat mengikut Seksyen 137 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001, manakala kesalahan berkaitan maklumat serta kemungkiran terma atau syarat disiasat di bawah Seksyen 159 dan Seksyen 165 enakmen sama.

Ketiga-tiga individu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong sebelum dilepaskan dengan jaminan polis, manakala lori yang disita dihantar ke Tapak Sitaan UPNP Zon Pahang Tengah di Temerloh.

Wan Rosdy turut mengarahkan kertas siasatan dibuka dan siasatan menyeluruh dijalankan bagi menentukan sama ada berlaku pelanggaran syarat serta undang-undang.

Menurutnya, penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan termasuk melalui penggunaan teknologi pemantauan dan risikan bagi memastikan hasil bumi Pahang diurus secara teratur dan bertanggungjawab.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.