Sukan

Para SUKMA Selangor 2026: Pahang Sasar 15 Emas

Kongsi
Para SUKMA Selangor 2026: Pahang Sasar 15 Emas

Foto: Facebook Fadzli Kamal

KUANTAN: Kontinjen Para Pahang menyasarkan 15 pingat emas pada Temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang akan berlangsung pada 5 hingga 10 September ini.

Pahang mempertaruhkan 69 atlet yang bakal membawa cabaran negeri dalam 10 jenis sukan dipertandingkan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, sasaran tersebut ditetapkan berdasarkan tahap persiapan, kemampuan dan semangat juang barisan atlet negeri.

Menurutnya, perkara paling utama adalah memastikan setiap atlet turun ke gelanggang dengan penuh keyakinan dan memberikan persembahan terbaik demi mengharumkan nama Pahang.

“Kita meletakkan sasaran 15 pingat emas berdasarkan keyakinan terhadap persiapan, kemampuan dan semangat juang atlet-atlet kita.

“Namun, lebih daripada sasaran tersebut, yang paling penting adalah untuk mereka turun ke gelanggang dengan penuh keyakinan, berjuang sehabis baik dan memberikan segala-galanya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan Kit Kontinjen Negeri Pahang kepada barisan atlet Para Pahang, malam tadi.

Fadzli berkata, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail akan terus memberikan sokongan terhadap keperluan dan kebajikan atlet para negeri.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat Pahang menitipkan doa serta memberikan sokongan kepada kontinjen negeri sepanjang temasya berkenaan.

“Ayuh seluruh rakyat Pahang, kita titipkan doa dan semangat buat mereka demi kejayaan Pahang Darul Makmur.

“Semangat Pahang, Emas Dijulang!” katanya.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.