Foto: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang telah menyalurkan sebanyak RM173.93 juta bagi pelaksanaan Inisiatif Makmur Pahang sepanjang tempoh 2024 hingga 2026.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM84.59 juta diperuntukkan bagi tahun 2026 dalam usaha memastikan lebih ramai rakyat menikmati manfaat secara langsung menerusi pelbagai bentuk bantuan dan insentif.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri turut merancang untuk meningkatkan lagi peruntukan bantuan berkenaan menerusi Belanjawan Pahang 2027.
Langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan peningkatan hasil dan kedudukan kewangan Pahang diterjemahkan kembali dalam bentuk manfaat kepada rakyat.
Inisiatif Makmur Pahang merangkumi pelbagai bantuan yang menyentuh keperluan rakyat termasuk aspek kebajikan, pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan golongan memerlukan, kata beliau ketika menyampaikan ucapan penangguhan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15, di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Peningkatan peruntukan dari tahun ke tahun turut menunjukkan agenda membantu rakyat terus menjadi antara keutamaan utama kerajaan negeri.
Pendekatan itu memperlihatkan bahawa pengukuhan kedudukan kewangan negeri bukan sekadar diukur menerusi angka kutipan hasil, sebaliknya melalui sejauh mana hasil tersebut dapat dikembalikan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Pahang.-JELAIPOST