KUANTAN – Kejayaan Kontinjen Pahang pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 mendapat pujian Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh atlet negeri yang mempamerkan komitmen, semangat juang serta usaha terbaik sepanjang temasya berlangsung.
“Satu pencapaian yang sememangnya membanggakan seluruh rakyat Pahang,” katanya.
Sebelum itu, Kontinjen Pahang menutup tirai persaingan SUKMA XXII Selangor 2026 dengan pencapaian membanggakan apabila mengutip 28 pingat emas, 19 perak dan 36 gangsa, sekali gus mencatat peningkatan ketara berbanding temasya dua tahun lalu di Sarawak.
Pencapaian kontinjen negeri turut diserikan apabila atlet menembak Pahang, Cheah Zen Hong, dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik SUKMA XXII Selangor 2026 selepas meraih sembilan emas dan satu perak.
Wan Rosdy berkata, setiap pingat yang diraih adalah hasil kerja keras serta pengorbanan atlet yang tidak mengenal erti penat demi mengharumkan nama Pahang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih, persatuan sukan, pengurus pasukan, pegawai, keluarga dan ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan serta dorongan kepada para atlet.
Menurutnya, kejayaan itu bukan sekadar mengenai pingat, malah mencerminkan disiplin, kesungguhan dan keberanian anak-anak Pahang membawa nama negeri ke pentas terbaik.
Beliau berharap pencapaian tersebut menjadi pembakar semangat untuk Kontinjen Pahang terus melakar kejayaan pada masa hadapan.-JELAIPOST