Berita

MB Pahang seru umat Islam hayati sirah dan akhlak Rasulullah

Kongsi
MB Pahang seru umat Islam hayati sirah dan akhlak Rasulullah

KUANTAN — Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail menyeru seluruh umat Islam agar menjadikan sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah sebagai ruang untuk memperkukuh kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya, beliau berkata umat Islam disaran memperbanyakkan selawat, menghayati sirah perjuangan Rasulullah SAW serta meneladani akhlak mulia Baginda dalam kehidupan seharian.

Menurut beliau, Nabi Muhammad SAW mengajar umatnya nilai kasih sayang dalam persaudaraan, kesabaran ketika menghadapi ujian, keadilan dalam setiap pertimbangan dan ihsan dalam kehidupan.

“Semoga sambutan Maulidur Rasul tahun ini bukan sekadar memperingati kelahiran insan agung, tetapi menjadi titik untuk kita memperbaiki diri, memperhalus akhlak dan menghidupkan sunnah Rasulullah SAW dalam keluarga, masyarakat dan kehidupan seharian,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar kecintaan umat Islam terhadap Rasulullah SAW terus mekar di hati, menjadi pedoman dalam setiap langkah serta membawa kehidupan yang diredai Allah SWT.

Wan Rosdy mengakhiri perutusannya dengan menyampaikan selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabat Baginda.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.