Foto: Facebook Ramli Mohd Nor
CAMERON HIGHLANDS: Sebanyak RM232,000 disalurkan bagi membantu pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pesakit kronik serta golongan memerlukan di Parlimen Cameron Highlands.
Ahli Parlimennya, YB Dato’ Sri Ramli Mohd Nor berkata, sumbangan itu melibatkan empat kategori penerima sebagai tanda keprihatinan dan komitmen berterusan terhadap kebajikan masyarakat setempat.
Menurutnya, seramai 22 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan 22 penerima bantuan melanjutkan pelajaran menerima sumbangan bagi menyokong kecemerlangan serta kesinambungan pendidikan mereka.
“Sumbangan turut disalurkan kepada 25 NGO, persatuan dan kelab, selain lapan pesakit kronik serta penerima bantuan kebajikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berharap bantuan berkenaan dapat meringankan beban penerima, selain menjadi pemangkin kepada usaha memperkasa pendidikan, kebajikan dan pembangunan komuniti.
Ramli turut memberi jaminan akan terus berusaha memastikan kebajikan serta kepentingan masyarakat Cameron Highlands sentiasa diberi perhatian dan diperjuangkan.-JELAIPOST