KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang memperkenalkan Liga Fantasy EPL Pahang 1st bagi musim 2026/2027, sekali gus membuka peluang kepada peminat bola sepak di negeri ini merebut hadiah keseluruhan bernilai RM50,000.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pertandingan itu diperkenalkan buat kali pertama bagi memberi ruang kepada anak-anak Pahang membuktikan kebolehan sebagai pengurus pasukan bola sepak fantasi.
“Tok Wan mengajak semua anak-anak negeri Pahang untuk menyertai Liga Fantasy EPL Pahang 1st musim 2026/2027.
“Tok Wan tahu ramai anak-anak muda yang berminat menyertai liga ini setiap kali musim EPL tiba,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Wan Rosdy, pasukan yang mengumpul mata tertinggi setiap bulan dan di penghujung musim akan menerima hadiah menarik, dengan ganjaran bulanan serta keseluruhan disediakan kepada pemenang tempat pertama hingga ke-50.

Syarat penyertaan
Penyertaan terbuka kepada anak kelahiran Pahang yang mempunyai nombor kad pengenalan berkod negeri 06 atau 33, selain individu yang mempunyai alamat di Pahang.
Peserta mestilah berusia 17 tahun ke atas dan hanya dibenarkan membuat satu penyertaan menggunakan satu nama serta nombor kad pengenalan yang sah.
Mereka juga hanya boleh mendaftarkan satu pasukan Fantasy Premier League (FPL), selain perlu mempunyai akaun FPL yang sah dan mematuhi peraturan ditetapkan oleh pihak FPL serta penganjur.
Penganjur berhak membatalkan penyertaan sekiranya mendapati maklumat palsu, pendaftaran berganda atau pelanggaran syarat pertandingan.
Cara mendaftar
Penyertaan adalah percuma. Orang ramai boleh membuat pendaftaran dengan mengimbas kod QR yang disediakan dalam hantaran rasmi Wan Rosdy.
Peserta yang disahkan pendaftarannya akan diberikan kod liga khas untuk menyertai Liga Fantasy EPL Pahang 1st.-JELAIPOST
