KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada Pondok Darul Salam Sri Damai susulan pemergian pemimpinnya, Tuan Guru Haji Wan Muhd Zukir Wan Ismail.
Sumbangan berkenaan disampaikan menerusi Pegawai Khas Menteri Besar, Ustaz Muhammad Yunan A Samad kepada Timbalan Mudir pondok itu, Ustaz Sariki Sepiaail.
Wan Rosdy turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, anak-anak murid serta seluruh warga Pondok Darul Salam Sri Damai.
Pemergian Allahyarham bukan sahaja kehilangan besar buat keluarga, malah meninggalkan kesedihan mendalam kepada anak-anak murid yang pernah menerima curahan ilmu dan bimbingannya.
“Semoga segala ilmu, jasa dan amal kebaikan yang dicurahkan oleh Allahyarham menjadi amal jariah yang terus mengalir pahalanya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Allahyarham Tuan Guru Haji Wan Muhd Zukir Wan Ismail.
Beliau turut mengajak orang ramai mendoakan agar Allah SWT merahmati roh Allahyarham, mengampunkan segala dosanya, mengangkat martabatnya serta menempatkannya bersama orang beriman dan beramal soleh.