Foto: Utusan Malaysia
SERDANG: Atlet muda Pahang, Shaikh Ahmad Fahmi Shaikh Ahmad Fauzi mencipta kejutan apabila memenangi pingat emas acara 800 meter lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, hari ini.
Dalam perlumbaan akhir di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), atlet berusia 18 tahun itu mempamerkan larian bertenaga sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan masa satu minit 54.53 saat.
Catatan tersebut turut menjadi rekod peribadi terbaik buat Shaikh Ahmad Fahmi yang membuat penampilan sulungnya pada temasya SUKMA.
Pingat perak menjadi milik pelari Johor, Poven Kumar Muthu dengan catatan 1:55.12s, manakala Alaziz dari Sabah meraih gangsa selepas mencatat 1:55.15s.
Seorang lagi wakil Pahang, Sri Murugan Sundramoorthy menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat menerusi catatan 1:55.24s.
Kejayaan itu turut menebus kekecewaan Shaikh Ahmad Fahmi selepas sekadar menduduki tempat keempat dalam acara 3,000 meter lari berhalangan, Selasa lalu.
Menurutnya, dia berdepan tekanan kerana perlu bersaing dengan pelari lebih berpengalaman, namun keyakinan terhadap diri sendiri dan jurulatih menjadi kunci kejayaan.
Shaikh Ahmad Fahmi yang beralih daripada bola sepak kepada olahraga pada 2024 turut menjalani latihan intensif pada sebelah pagi dan petang bagi mempersiapkan dirinya menghadapi temasya berkenaan.
Kemenangan tersebut sekali gus menambah koleksi pingat kontinjen Pahang dalam misi memburu kejayaan pada SUKMA XXII Selangor 2026 yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.