Foto: Facebook Kesultanan Pahang
KUCHING: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berangkat tiba di Sarawak hari ini bagi memulakan lawatan kerja selama tiga hari sehingga 22 Ogos 2026.
Memetik laporan Kesultanan Pahang, keberangkatan tiba Paduka Baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kira pukul 12 tengah hari disambut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Turut menyambut keberangkatan Paduka Baginda ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Sepanjang lawatan berkenaan, Paduka Baginda dijadual menghadiri beberapa program termasuk santapan rasmi dan perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah di Telok Melano.
Baginda turut dijadual meninjau kawasan Kilometer 0.0 Lebuhraya Pan Borneo serta menerima sesi mengadap Premier Sarawak.
Lawatan itu bertujuan memperkukuh hubungan silaturahim dan kerjasama erat antara Pahang dengan Sarawak.