Berita

Jerebu: Menteri Besar Nasihat Rakyat Pahang Kurangkan Aktiviti Luar

Kongsi
Jerebu: Menteri Besar Nasihat Rakyat Pahang Kurangkan Aktiviti Luar

KUANTAN, 12 Oktober 2026 – Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menasihatkan seluruh rakyat negeri ini supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan, khususnya Kuantan dan Rompin.

Beliau berkata, orang ramai perlu mengurangkan aktiviti luar rumah, memakai pelitup muka, mengelakkan pembakaran terbuka serta sentiasa mematuhi nasihat pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pencemaran udara.

Menurutnya, perhatian khusus perlu diberikan kepada golongan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.

“Ibu bapa, majikan dan penganjur program juga diminta mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tidak sihat.

“Sekiranya mengalami gejala yang membimbangkan, segera dapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Wan Rosdy turut mengambil maklum keputusan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang menutup sementara institusi pendidikan di daerah Kuantan dan Rompin bermula esok, 13 Oktober, susulan keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di kedua-dua daerah berkenaan.

Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai langkah penting bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, guru serta seluruh warga pendidikan sentiasa terpelihara.

Sepanjang tempoh penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan mengikut kaedah bersesuaian, manakala pembukaan semula institusi pendidikan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JPN Pahang.

Menteri Besar menegaskan Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan jerebu bersama agensi berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat Pahang berdoa agar keadaan jerebu segera pulih dan semua pihak dikurniakan kesihatan serta perlindungan daripada Allah SWT.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.