KUANTAN, 11 Oktober 2026 – Sambutan Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Negeri Pahang berlangsung meriah di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES), dengan pelbagai pengisian sukan dan rekreasi bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM375,000 bagi menjayakan penganjuran sambutan tersebut.
Menurutnya, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperluaskan budaya bersukan, selain memastikan masyarakat mempunyai peluang menyertai aktiviti fizikal tanpa mengira peringkat umur.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Perasmian Penutup Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Negeri Pahang di KOMBES, pada Ahad.

Fadzli berkata, sambutan Hari Sukan Negara bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan masyarakat dan membentuk rakyat yang lebih cergas, sihat serta berkualiti.
Bagaimanapun, beliau mengakui usaha membudayakan sukan dalam kalangan rakyat Pahang masih perlu dipertingkatkan berdasarkan Indeks Budaya Sukan 2024 yang dibentangkan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).
Katanya, tahap budaya bersukan di Pahang hanya mencatatkan 53.9 peratus, dengan penyertaan lelaki sebanyak 64 peratus berbanding wanita yang lebih rendah, iaitu 47.8 peratus.
“Angka ini memberi satu gambaran yang jelas. Kita perlu berusaha lebih gigih supaya lebih ramai rakyat Pahang menjadikan aktiviti fizikal sebagai rutin, khususnya golongan wanita yang masih mempunyai ruang besar untuk meningkatkan keterlibatan dalam bidang sukan,” katanya.
Dalam pada itu, Fadzli berkata, pelbagai program terus digerakkan di seluruh negeri termasuk Cabaran Mendaki 11 Puncak di 11 daerah, program Stadium Run Culture di Stadium Darul Makmur serta Maraton Lasak Pahang yang kini memasuki edisi kedua.
Katanya, program Walk A Town With Me Pahang 1st bersama Menteri Besar turut mendapat sambutan luar biasa, sekali gus menunjukkan minat masyarakat terhadap aktiviti sukan dan rekreasi semakin berkembang.
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri menyediakan RM12 juta bagi persiapan kontinjen Pahang menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, selain memberikan perhatian kepada pembangunan infrastruktur sukan dan kebajikan atlet.
Fadzli berharap Pahang sekali lagi mencatatkan penyertaan tertinggi Hari Sukan Negara sebagaimana pencapaian pada tahun sebelumnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, agensi terlibat serta para penaja yang bersama-sama memastikan kelancaran penganjuran sambutan berkenaan.-JELAIPOST