Berita

360 Pemimpin Wanita FELDA Bawa Aspirasi Pahang 1st Ke Akar Umbi

Kongsi
360 Pemimpin Wanita FELDA Bawa Aspirasi Pahang 1st Ke Akar Umbi

BENTONG: Seramai 360 pemimpin Wanita FELDA Pahang diseru meneruskan gerak kerja mendekati masyarakat di kawasan masing-masing selepas Kem Mobilisasi Aspirasi Pahang 1st Wanita FELDA melabuhkan tirainya hari ini.

Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Pahang 1st, Dato’ Sri Shahaniza Haji Shamsuddin berkata, semangat dan pengalaman sepanjang kem itu perlu dibawa pulang untuk memperkukuh kepimpinan serta menjaga kebajikan komuniti FELDA.

“Kem mungkin sudah berakhir, tetapi gerak kerja kita baru bermula.

“Baliklah dengan semangat yang lebih kuat. Jaga komuniti kita. Dekati hati mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Program berkenaan telah dirasmikan Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, Bentong, pada Sabtu.

Menerusi hantaran Facebook berkaitan program itu, Wan Rosdy menyifatkan kem berkenaan sebagai ruang untuk mengukuhkan kepimpinan, menyelaraskan gerak kerja dan memperkasa peranan Wanita FELDA di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Shahaniza berkata, kehadiran Datin Sri Hamidah, isteri Timbalan Perdana Menteri, pada hari terakhir kem memberikan suntikan semangat kepada peserta.

Menurutnya, ucapan beliau sarat dengan pesanan tentang kepimpinan, tanggungjawab menjaga masyarakat serta kekuatan wanita dalam mengukuhkan keluarga dan komuniti.

“Kehadiran dan kata-kata Datin Sri pasti akan menjadi bekalan buat 360 kepimpinan Wanita FELDA Pahang yang pulang ke kawasan masing-masing hari ini,” katanya.

Shahaniza turut menghargai pengorbanan generasi penerokawati terdahulu yang membuka jalan kepada kejayaan anak-anak FELDA dalam pelbagai bidang.

Katanya, wanita mempunyai peranan besar dalam menggerakkan masyarakat dan memastikan semangat kebersamaan terus dipelihara.

“Kerana wanita bukan sekadar pelengkap perjuanga, wanita adalah kekuatan yang menggerakkannya.

“Wanita FELDA, kekuatan dari akar umbi. Aspirasi Pahang 1st, kita gerakkan bersama,” katanya.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.