Viral

Kebun Nanas Atas Bumbung Jadi Rezeki Jiran

Kongsi
Kebun Nanas Atas Bumbung Jadi Rezeki Jiran

Kredit Foto: Sinar Harian

KUANTAN: Sekitar 300 pokok nanas MD2 menghijau di atas bumbung sebuah rumah di KotaSAS, namun pemiliknya tidak menjadikan hasil tuaian sebagai sumber jualan.

Sebaliknya, Izudin Muhamad Amin, 49, memilih untuk berkongsi buah nanas itu dengan jiran dan rakan.

Penduduk Taman Springvale Residences itu mengubah ruang bumbung konkrit rumah dua tingkatnya menjadi kebun bagi meneruskan minat bercucuk tanam.

Menurut laporan Sinar Harian, usaha tersebut bermula pada 2021 apabila beliau mendapatkan 100 anak pokok nanas MD2 dari Pontian, Johor.

Kekangan tanah di kawasan perumahan mencetuskan idea untuk memanfaatkan ruang di atas kediamannya sendiri.

Namun, menempatkan tanaman di situ memerlukan persediaan. Anak pokok ditanam dalam polibeg di bahagian bawah rumah terlebih dahulu sebelum diangkat ke bumbung menggunakan kren.

Izudin, yang juga Pengerusi Eksekutif Masjid Bandaraya KotaSAS, memilih nanas dengan mengambil kira keadaan persekitaran dan masa yang dapat diperuntukkan untuk menjaga tanaman.

Sekitar 2022, usaha itu menghasilkan tuaian pertama selepas tempoh penanaman kira-kira 12 hingga 14 bulan.

Daripada 100 pokok, kebunnya kemudian berkembang kepada sekitar 300 pokok melalui penggunaan sulur tanaman terdahulu.

Walaupun penggunaan kren meningkatkan kos awal, beliau meneruskan kebun itu sebagai hobi, dengan hasilnya menjadi pemberian kepada komuniti sekeliling.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.