KUANTAN, 24 NOVEMBER 2026 – Pembangunan tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang bakal membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat, khususnya dalam sektor perniagaan, pelaburan, pelancongan dan pekerjaan.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembangunan berorientasikan transit (TOD) di kesemua tujuh stesen berkenaan akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan bandar baharu, menarik lebih banyak pelaburan serta merancakkan ekonomi setempat.
Menurut beliau, kemajuan pembinaan ECRL di Pahang kini mencapai 99.17 peratus, mengatasi kemajuan keseluruhan jajaran Fasa Pertama dari Kota Bharu ke Gombak yang mencatatkan 99.03 peratus setakat Oktober lalu.
“Namun, ECRL bukan sekadar sebuah projek pengangkutan yang menghubungkan satu negeri dengan negeri yang lain.
“Lebih besar daripada itu, saya melihatnya sebagai satu peluang untuk membuka lembaran baharu pembangunan ekonomi negeri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau mengiringi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Stesen ECRL KotaSAS di Kuantan, pagi tadi.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Pahang merupakan negeri yang mempunyai bilangan stesen terbanyak dalam keseluruhan rangkaian ECRL dengan jajaran sepanjang 258 kilometer.
Tujuh stesen berkenaan ialah Cherating, Kuantan Port City, KotaSAS, Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong.
Daripada jumlah itu, lima stesen menyediakan perkhidmatan penumpang dan kargo, sekali gus berpotensi memperkukuh sektor logistik, perdagangan serta perindustrian negeri.
Perkhidmatan komersial ECRL dijadualkan bermula pada 12 Disember 2026, dengan perjalanan antara Kuantan dan Gombak dijangka mengambil masa sekitar 90 minit.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut bertitah agar kewujudan tujuh stesen ECRL di Pahang dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kegiatan ekonomi masyarakat setempat.
Pembangunan ECRL bersama Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) juga dilihat berpotensi merapatkan jurang pembangunan antara Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Kedua-dua projek infrastruktur berskala besar itu bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan antara daerah, malah berpotensi memperluas pasaran usahawan tempatan, menarik kemasukan industri baharu serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak Pahang di negeri sendiri.-JELAIPOST
