Foto: Fadzli Kamal
RAUB, 9 Oktober – Keadaan Sungai Gali dan Sungai Lampan di Raub kini membimbangkan apabila air bertukar hitam, mengeluarkan bau busuk dan menyebabkan pelbagai spesies ikan ditemukan mati di sepanjang aliran sungai berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal menyifatkan kejadian itu sebagai pencemaran serius yang memerlukan tindakan segera pihak berkuasa.
Beliau yang turun meninjau sendiri kawasan terbabit petang tadi selepas menerima aduan penduduk mendapati pencemaran bukan hanya berlaku di satu lokasi, sebaliknya melibatkan sepanjang Sungai Gali dan Sungai Lampan yang diperiksa.
Menurutnya, kematian ikan pelbagai spesies termasuk ikan tilan yang terkenal dengan daya tahan tinggi menggambarkan betapa seriusnya keadaan sungai berkenaan.

Tinjauan itu turut disertai wakil Majlis Daerah Raub, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Raub serta pihak polis bagi melihat sendiri keadaan sungai dan beberapa lokasi yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian pencemaran.
Fadzli yang iuga Adun Dong berkata, beliau turut meninjau kawasan yang disyaki menjadi punca pencemaran, namun penentuan sebenar perlu dibuat menerusi siasatan pihak berkuasa berkaitan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan siasatan menyeluruh dengan segera bagi mengenal pasti sumber pencemaran serta pihak yang mungkin bertanggungjawab.
Kebimbangan turut tertumpu kepada risiko pencemaran merebak ke sungai lain memandangkan Sungai Gali mengalir ke Sungai Dong.
Menurut Fadzli, tindakan pantas amat penting bagi mengelakkan kerosakan lebih besar terhadap ekosistem sungai, selain memastikan kehidupan dan aktiviti harian penduduk setempat tidak terus terjejas.
Beliau turut menegaskan keperluan langkah pemuliharaan jangka panjang dilaksanakan sebaik sahaja punca sebenar pencemaran dikenal pasti.
Sekiranya siasatan membuktikan kejadian itu berpunca daripada perbuatan pihak tidak bertanggungjawab, tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil tanpa kompromi.
“Jangan biarkan sungai kita terus menjadi mangsa kerakusan pihak tertentu. Kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan penduduk mesti dipertahankan,” tegasnya.
Setakat ini, punca sebenar pencemaran serta tahap kerosakan terhadap ekosistem Sungai Gali dan Sungai Lampan masih menunggu pengesahan lanjut pihak berkuasa.-JELAI POST
Satu ulasan