Politik

Rundingan BN-PN PRU16 Perlu Berdasarkan Realiti Semasa Pahang

Kongsi

JERANTUT: Rundingan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tidak wajar ditentukan semata-mata berdasarkan keputusan pilihan raya lalu.

Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Haris Salleh Hamzah, berkata sebarang perbincangan pembahagian kerusi perlu mengambil kira kekuatan semasa parti, sokongan rakyat, rekod calon serta peluang kemenangan di setiap kawasan.

Menurut beliau, landskap politik sentiasa berubah dan pendekatan yang terlalu bergantung kepada keputusan PRU15 tidak akan mencerminkan keadaan politik semasa.

“Keputusan lalu perlu dihormati sebagai sejarah, namun formula bagi menghadapi PRU16 mesti dibina berasaskan realiti hari ini,” katanya, memetik FMT.

Kenyataan itu susulan keterbukaan UMNO Pahang untuk menjalin kerjasama dengan PAS pada pilihan raya akan datang, seperti disuarakan Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam pilihan raya negeri lalu, UMNO menyumbang 16 daripada 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi BN, manakala PAS memperoleh 15 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) memenangi lapan kerusi.

BN kemudiannya membentuk kerajaan negeri bersama PH di bawah kepimpinan Wan Rosdy.

Haris yang juga ADUN lantikan Pahang berkata, sebarang bentuk kerjasama politik perlu dibina atas asas kepercayaan, persefahaman dan sikap saling menghormati, bukannya sekadar perebutan kerusi atau jawatan.

Katanya, kestabilan politik penting bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada agenda rakyat termasuk isu kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan dan pembangunan setempat.

“Rakyat mahu pemimpin yang menyelesaikan masalah mereka, bukan politik yang hanya tertumpu kepada pembahagian kerusi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *