PEKAN: Kerajaan Pahang memperuntukkan RM600,000 bagi memperkasa koperasi kariah masjid menerusi Inisiatif Makmur Pahang tahun ini untuk merancakkan kegiatan ekonomi yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengukuhan koperasi membolehkan masjid memainkan peranan lebih luas dalam membantu meningkatkan kesejahteraan ahli kariah.
“Melalui koperasi, masjid bukan sahaja dapat mengimarahkan kehidupan beragama, malah berpeluang menjana aktiviti ekonomi yang boleh memberi manfaat secara langsung kepada ahli kariah dan masyarakat setempat.
“Untuk itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM600,000 bagi menjayakan Koperasi Kariah Masjid menerusi Inisiatif Makmur Pahang bagi tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena merasmikan Multaqa Wa Takrim Koperasi Kariah Masjid Negeri Pahang 2026 di AnCasa Royale, di sini.
Menurut Wan Rosdy, masjid sejak dahulu mempunyai peranan besar dalam kehidupan masyarakat, termasuk sebagai pusat menimba ilmu, mengeratkan silaturahim, membantu golongan memerlukan dan menyatukan penduduk.
Katanya, usaha memperkasa koperasi kariah masjid dapat memperluas sumbangan institusi itu dengan menggerakkan kegiatan ekonomi yang turut memberikan manfaat kepada masyarakat sekitar.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus menyokong usaha berkenaan selaras dengan Aspirasi Pahang 1st yang menekankan pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Pahang, Institut Koperasi Malaysia Zon Timur (IKMa), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) serta semua pihak yang menjayakan majlis tersebut.
Beliau berharap kerjasama dan komitmen berterusan semua pihak dapat mengembangkan koperasi kariah masjid sebagai pemangkin ekonomi ummah, di samping memperkukuh peranan masjid dalam pembangunan rohani dan kehidupan masyarakat.-JELAIPOST
